aRTIKEL.. Sejarah

Mengajar Subjek Sejarah
Posted in September 15th, 2007
by
Cikgu Bashid in Panduan
KETIKA subjek lain boleh diletakkan harapannya kepada keupayaan seseorang pelajar, subjek sejarah masih bergantung kepada kekuatan guru yang mengajarkannya. Atau dalam erti kata lain faktor guru masih kuat mempengaruhi minat pelajar terhadap subjek ini. Sejarah yang memang sudah mati, menjadi hidup dan segar di tangan guru sejarah yang berkebolehan. Tetapi bilangan mereka yang sebegitu tidak ramai. Realitinya, sejarah selalu sahaja menjadi subjek yang paling tidak popular di sekolah.
Mujurlah subjek ini diwajibkan pengambilannya, jika tidak ramai pelajar yang akan mengetepikannya. Bagi mereka sejarah adalah subjek yang membosankan. Cikgu-cikgu yang mengajarkan subjek ini pula dikatakan kurang ketrampilan dalam menyampaikannya; begitu kaku dan terikat dengan satu cara. Mereka selalu dilihat memberi kuliah dan syarahan sejarah, bukan pendidikan dan penghayatan sejarah. ”Bosan sungguh”‘ kata pelajar. Bayangkan mereka sendiri kurang berminat dengan subjek ini, tiba-tiba mereka disuruh mengajarkannya kepada orang lain. Wah memang suatu bebanan dan menyakitkan. Sebab itu saya pernah memberitahu guru-guru sejarah saya bahawa guru sejarah harus berminat dengan subjek ini sebelum mereka mengajarkannya.
Mula-mula minat dahulu, kemudian baru ada penghayatan. Kita tidak mahu guru sejarah bercakap dari hati yang mati . Perlu ada hubungan jiwa antara mereka sendiri dengan pelajar mereka supaya pengajaran dan pembelajaran subjek ini benar-benar dirasakan kemanisannya. Jika jiwa sejarah itu sendiri tidak ada, bagaimana kita mengharapkan pelajar berminat dengan subjek ini.? Jika berlaku juga kita seolah-olah memaksa pelajar kita pergi ke suatu zaman yang begitu asing dengan diri mereka. Mereka hanya touch and go, tetapi langsung tak merasai apa-apa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan