Azrina Binti Sobian
Fellow
21/04/2009 | Berita Harian
Dalam makalah bertajuk "Cabaran-cabaran Pendidikan Tinggi" yang ditulis oleh YM Datuk Dr. Syed Ali Tawfik Al Attas, antara lainnya menunjukkan betapa wujudnya salah tanggapan pelajar dan ahli masyarakat keseluruhannya terhadap bidang sains. Menurut beliau, pelajar dan ahli masyarakat lebih gemar melihat bidang sains dari sudut keuntungan semata-mata. Hal ini terjadi apabila bidang sains itu diyakini sebagai satu bidang yang menjanjikan peluang pekerjaan dan jawatan yang tinggi. Kesannya, berlakulah kemerosotan dari segi mutu pelajar dan dalam masa yang sama percambahan ilmu sains ini menjadi begitu lemah atau mungkin tidak langsung berlaku.
Manakala, satu kertas kerja bertajuk "Paradoks Pendidikan Sains" yang dibentang oleh Dr. Mohd Najib Ab. Ghafar pula menunjukkan pendapat yang berbeza (dibentangkan di Seminar Kebangsaan Pendidikan Sains dan Matematik pada tahun 1996). Pada pandangan beliau, pelajar serta ahli masyarakat mempunyai tanggapan lain terhadap bidang sains. Menurut beliau, kemerosotan mutu dan bilangan pelajar dalam bidang sains adalah kerana bidang tersebut dianggap sebagai kurang menguntungkan. Dengan itu, semakin ramai pelajar yang beralih ke bidang sains kemasyarakatan (sains sosial) kerana kepercayaan bahawa bidang ini memberikan peluang kerjaya yang lebih, apatah lagi bila bercakap tentang bidang ekonomi.
Dalam pada itu, satu kajian bertajuk "Kesedaran Awam terhadap Sains dan Teknologi" (2004) pula menunjukkan bahawa 42.3% rakyat Malaysia berpendapat bahawa matapelajaran sains adalah satu mata pelajaran yang sukar. Namun, tidak pula dinyatakan apakah bentuk kesukaran itu. Kesan daripada tanggapan ini, timbullah perasaan takut tanpa sebab terhadap bidang dan matapelajaran sains, terutamanya di kalangan pelajar Melayu.
Rasa takut ciptaan ini menjadi lebih buruk apabila kajian yang sama menunjukkan bahawa 32.4% penduduk Malaysia menganggap pengajaran sains dan teknologi adalah "terlalu akademik". Selain kaedah pengajaran, menurut Prof. Dr. T. Subahan Mohd. Meerah (kertas kerja bertajuk "Strategi Pengajaran untuk Meningkatkan Prestasi Sains dan Matematik"), sebab-sebab lain yang menyumbang kepada tanggapan bahawa sains adalah matapelajaran yang sukar adalah kurikulum matapelajaran sains, pendekatan belajar di kalangan pelajar yang memberi tumpuan kepada penghafalan, suasana sekolah, suasana persekitaran pembelajaran sains dan keluarga.
Apa yang dinyatakan di atas menunjukkan bahawa wujudnya pelbagai salah tanggapan terhadap bidang sains. Pelbagai salah tanggapan itu pula membawa kesan yang berbeza-beza. Namun, apa yang pasti kesan-kesan tersebut membawa satu makna yang penting bahawa masyarakat Malaysia mengalami kerugian dari sudut keilmuan dan ini akan melemahkan masyarakat itu sendiri.
Sebenarnya, kemerosotan mutu dan bilangan pelajar yang mengambil bidang sains berlaku di seluruh dunia. Ini boleh diibaratkan sebagai keadaan "tidak mengenal mangsa" kerana kemerosotan itu berlaku sama ada di negara-negara maju, negara membangun apatah lagi di negara-negara mundur di dunia.
Namun, keadaan ini, jika dilihat dari sudut negara membangun seperti Malaysia, pastilah merupakan satu keadaan yang ‘menyedihkan dan merugikan'. Ini kerana belumpun bidang sains di negara kita ini mencapai tahap yang membanggakan, kemerosotan pula berlaku. Jadi, dalam keadaan ini, bilakah pula kita akan "berdiri sama tinggi, duduk sama rendah" dengan negara-negara maju lain dalam bidang sains?
Masalah-masalah yang dibawa oleh salah tanggapan masyarakat terhadap bidang sains perlulah diatasi. Namun, kita perlu menyedari hakikat bahawa memperbetulkan salah tanggapan ini bukanlah satu usaha yang mudah. Di mana kita harus bermula? Adakah di peringkat pemimpin, para guru, ibu bapa, pelajar atau di kalangan anak-anak kecil? Namun, Walau bagaimana sukar pun usaha ini, ia mesti dimulakan di satu garisan permulaan yang tertentu.
Usaha mengubah tanggapan ini haruslah dilakukan sebanyak dan sekerap mungkin. Melalui usaha ini diharapkan kita dapat menunjukkan kepada masyarakat awam betapa bidang sains itu satu bidang yang menarik untuk diceburi atas dasar kandungan ilmu yang dibawanya. Akhirnya kita berharap dapat mengubah tanggapan salah masyarakat terhadap bidang sains.
Dalam mengubah tanggapan ini adalah penting bagi umat Islam menyedari bahawa bidang sains ini adalah satu bidang yang sangat dekat dengan diri kita. Jika masyarakat Jepun membangunkan sainsnya dengan dipengaruhi oleh sebab-sebab pertanian dan kesihatan, maka bagi umat Islam pula, perkembangan sains adalah berpunca daripada kepercayaan yang mendalam bahawa semua masalah sains adalah masalah agama (walaupun bukan semua masalah agama adalah masalah sains).
Kenyataan ini telah disebut oleh Prof. Dr. Abdul Latif Samian dalam kertas kerja beliau yang bertajuk "Dasar Sains dan Teknologi: Persoalan Epistemologi" (dibentangkan di Seminar "Falsafah, Teknologi dan Pembangunan: Beberapa Persoalan Epistemologi" pada tahun 1998). Penjelasan beliau dipanjangkan lagi dengan menyatakan kepentingan bidang sains dan matematik dalam hal-hal zakat, sedekah, pembahagian harta, solat, muamalah dan untuk membuat segala alat peperangan untuk mempertahankan umat dan agama Islam itu sendiri.
Begitulah dekatnya bidang sains dan umat Islam. Oleh sebab inilah, bidang sains wajib diteroka dan dikuasai. Walau bagaimanapun, tidak semua ahli masyarakat memahami tuntutan meneroka dan menguasai bidang sains itu. Oleh itu, bagaimanakah kita hendak memastikan tuntutan ini difahami dan diterima oleh semua orang? Pastinya tanggungjawab memberi kefahaman ini terletak di bahu semua pihak. Ibu bapa, para guru, para profesor dan pemimpin negara, semuanya bertanggungjawab. Dalam hal ini, kita sendiri perlu benar-benar memahami tuntutan tersebut dan kemudian barulah kefahaman tersebut disampaikan kepada khalayak tanggungan kita, misalnya ibu bapa kepada anak-anak atau guru kepada pelajar. Di akhirnya, kita berharap agar seluruh isi masyarakat dapat mengubah salah tanggapan terhadap sains.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan